Baru tali leher yang aku tanggalkan bila aku mendengar suara ibu memanggil, "Anak keluar sini kejap!"
"Sebentar, bu", sahutku. "Tukar baju dulu".
"Tak payahlah tukar baju tu, kejap jak sini" desak ibu.
Untuk tidak mengecewakan ibu, akupun keluar dari bilik, masih dengan kemeja lengan panjang yang aku pakai ke sekolah tadi untuk mengajar.
"Assalamu alaikum", sapaku kepada keempat-empat insan yang sedang duduk di ruang tamu, ayah, ibu, seorang makcik dan seorang gadis yang aku agak baru berusia dalam lingkungan 14 tahun.
Hampir serentak mereka menjawab salam, kecuali sang gadis.
"Ada apa bu?" tanyaku.
"Duduk dulu, baru bertanya", tegur ayah yang memang cukup mengambil berat tentang tatasusila kesopanan.
Aku memerhati keadaan di ruang tamu itu. Hanya tinggal satu tempat duduk yang kosong...bersebelahan dengan gadis yang sedari tadi diam sahaja.
"Mana lagi sofa yang lain, bu?" tanyaku.
"Alaaa...buat apa kau cari sofa yang lain? Itu kan ada tempat duduk kosong?" jawab ibu.
"Marilah duduk sini", kata makcik tu. "Kami ni bukan orang lain".
Akupun duduk di sebelah gadis itu. Seperti sebuah patung, dia tidak bergerak dan tidak berkata apa-apa. Yang lainpun semuanya diam, namun dapat aku rasakan semua mata memandang ke arahku kecuali sepasang mata ayu sang gadis yang terus tunduk memandang lantai.
"Kenapa ibu panggil saya?" tanyaku memecah kebisuan.
"Oh ya, kenalkan ini makcik kamu, dua pupu ayah kamu" kata ibu.
"Apa khabar, makcik?", sapaku kepada makcik tu sambil menjabat dan mencium tangannya.
"Baik, nak", jawab makcik menyambut tanganku.
"Dan yang sebelah kamu tu, tiga pupulah dengan kamu", sambung ibu.
Aku menoleh ke arah gadis itu. Dia kelihatan sungguh ayu dalam usianya yang baru meningkat remaja. Sang gadis terus tertunduk.
"Apa khabar, dik?", sapaku kepadanya.
Sapaanku tidak terjawab. Buat beberapa ketika semua diam membisu, namun bagiku terasa amat lama. Sesekali gadis itu mengurut-urut jejari kecilnya. Sekejap-sekejap matanya berkedip-kedip. Jelas, dia keresahan.
"Tidak apalah", kataku memecah kesunyian. "Bu, saya mahu tidur dulu. Mengantuk ni".
"Eh! tak makan dulu?", tanya ibu.
"Nantilah bu", jawabku lalu berdiri dan beredar ke bilik. Tidak lama kemudian ibu menyusul ke bilik.
"Macamana?", tanya ibu.
"Apa maksud ibu?"
"Anak makcik kamu tu."
"Oh...Cantik."
"Bagus, jadi...kamu setujulah?"
"Setuju apa pula, bu?"
"Ish...dijodohkan dengan dia. Kamupun dah meningkat umur."
Rupa-rupanya itu maksud ayah dan ibu serta makcik tadi...menjodohkan kami berdua.
Aku mencapai tangan ibu lalu menciumnya. Dengan senyum aku pandang wajah ibu dalam-dalam.
"Ibu, budak tu masih terlalu muda untuk berkahwin. Lagipun, beza umur antara kami terlalu jauh."
"Laa...Dah aqil baliq budak tu. Beza umur tak jadi soal. Orang perempuan cepat matang", kata ibu cuba memujuk.
"Ibu ni kan. Habis, macamana dengan si Rina? Kan hari tu ibu dah setuju kalau si Rina yang jadi menantu ibu?".
"Oh, jadi engkau terus dengan Rina anak mat salleh tu lah ya?" tanya ibu tersenyum.
"Dahlah, bu. Mau tidur dulu. Assalamu alaikum".
"Hmmm...Wa alaikum salam".
Ibu keluar dan kembali berbual dengan mereka. Aku cuba melelapkan mata, tapi tidak dapat. Terbayang difikiran bagaimana agaknya ibu memberi penjelasan kepada mereka dan apa pula reaksi mereka. Tidak lama kemudian kedengaran olehku makcik dan anaknya mohon diri untuk beredar. Akupun bangkit dan mengintai mereka pergi dari celah-celah langsir tingkap. Kelihatan mereka melangkah pergi dengan longlai.
"Menolehlah, gadis ayu, menolehlah agar dapat aku melihat wajah ayumu sekali lagi", bisik hatiku.
Seperti bisikan hati itu dapat didengarnya, sang gadis menoleh ke arahku. Terpancar sinar kesucian pada raut wajahnya yang putih berseri. Tiba-tiba terasa sesuatu yang sukar aku gambarkan. Ingin rasanya akau berlari dan menahan mereka supaya jangan pergi, namun keegoan memaku kakiku dari berganjak.
"Andainya usia kita tidak terlalu jauh berbeza....."
...bersambung...
<iframe width="640" height="480" src="http://www.youtube.com/embed/6CZIx5K0xT4?rel=0" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>